Ahlan Wa Sahlan

Selamat Datang ke Sibu Islamic Media... Media Memeriahkan Lagi Da'wah Islamiyyah di Sarawak Khususnya...

Rabu, 30 Mei 2012

PENGIMARAHAN MASJID MELALUI PROGRAM TRANSFORMASI BERPUSATKAN MASJID

       Pada zaman Rasulullah SAW masjid merupakan pusat kegiatan kaum muslimin. Selain tempat solat dan bermunajat kepada Allah, masjid juga dijadikan sebagai pusat perbincangan, pendidikan, pentadbiran, penyatuan ummah, siasah, sosial dan sebagainya. Langkah yang ditunukkan oleh baginda Rasulullah SAW ini adalah bertepatan dengan firman Allah SWT dalam Surah At-Taubah ayat 18:

 إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّهَ فَعَسَى أُولَئِكَ أَنْ يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ

Maksudnya : Hanyasanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah itu ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.”
 
       Imam Bukhari meriwayatkan bahawa di zaman Rasulullah SAW masjid menjadi tempat berkumpul para sahabat untuk solat berjemaah, mendengar pengajaran dari Baginda selepas solat atau sebelumnya. Di sinilah, para Sahabat telah dididik dan tradisi inilah yang diteruskan oleh mereka.

Di negara kita Malaysia, masjid tumbuh ibarat cendawan tumbuh selepas hujan turun. Kepesatan pembangunan masjid di negara kita menjadi petunjuk kepada peningkatan nilai-nilai ketamadunan Islam dan ia lebih bermakna lagi dengan adanya kesemarakan dan kesedaran kepenggunaan masjid sepenuhnya demi menjunjung kasih dan kecintaan kepada Islam sebagai ad-din yang membawa kebahagiaan hiup di dunia dan akhirat.

 Di negeri sarawak, sebanyak 290 buah masjid dan 820 buah surau  telah dibina di bandar-bandar, di Daerah-daerah dan di kampung-kampung. Kerajaan telah berbelanja untuk pembangunan lebih 1000 buah masjid dan surau  bertujuan untuk pembangunan rohani masyarakat Islam. Namun, pada pemerhatian saya mendapati, sesetengah masjid dan surau tidak melaksanakan peranan seperti mana tujuan pembinaannya.
Masjid Babussalam, Kampung Jariah, Sibu

Menyedari hakikat ini, Jabatan Agama Islam Sarawak telah mengambil pendekatan melaksanakan program Transformasi berpusatkan Masjid di seluruh negeri Sarawak. Program pelancaran telah dilakukan di Masjid Beladin. Sebanyak 11 buah masjid dipilih di seluruh negeri Sarawak sebagai program perintis. Di Bahagian Sibu, Masjid Babussalam Kampung Jeriah telah dipilih sebagai lokasi pelaksanaan program.  
Program ini diadakan bertujuan untuk mengembalikan peranan masjid sebagai pusat kegiatan kepada masyarakat Islam. Sebanyak 12 program diadakan sepanjang tahun iaitu :

1)    Program Gotong-Royong 5S iaitu membersih dan menceriakan     masjid. 
2)    Rakan Pegawai Penguatkuasa Agama
3)    Cinta Al-Quran
4)    Program Juh Berambeh Di Masjid
5)    Program “Kaunseling Keluarga”
6)    Explore Masjid
7)    Lan Riadah
8)    Penubuhan Koperasi Masjid
9)    Seminar Perundangan Syariah
10)    Program Kidmat Nasihat
11)    Kelas Agama Dewasa, dan
12)    Kelab Remaja Masjid



Program ini telah bermula pada hari iaitu sabtu 19 Mei 2012 iaitu dimulakan dengan Gotong Royong 5S. Program ini adalah bertujuan untuk membersih, mernceriakan dan memperindahkan lagi Masjid kita sebagai daya tarikan kepada masyarakat Kampung Jariah, Sibu.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud : “Barangsiapa yang mengeluarkan kekotoran dari masjid, maka Allah akan membangunkan untuknya sebuah rumah di syurga”. Apa yang dapat kita fahami pada konteks hadis ini bahwa betapa pentingnya bagi diri kita untuk menjaga kebersihan masjid kerana kita akan mendapat ganjaran yang sangat besar daripada Allah SWT.
Masjid Babussalam, Kampung Jariah, Sibu

Sebuah riwayat dari Abu Hurairah r.a, bahwa ada seorang wanita yang berkulit hitam yang kebiasaannya membersihkan masjid, suatu ketika Rasulullah saw merasa kehilangannya, terus baginda bertanyakan tentang wanita itu. Mereka telah berkata,”Dia telah wafat”. Rasulullah saw bersabda,”Mengapa kamu tidak memberitahukan akan hal itu kepada saya?”. Abu Hurairah pun berkata,”Seolah-olah mereka menganggap bahwa kematian Ummu Mahjan itu adalah perkara yang remeh”. Rasulullah saw bersabda lagi.”Tunjukkan kepadaku di mana kuburnya!”. Maka mereka pun menunjukkan kuburnya kepada Rasulullah saw, kemudian beginda mensholatinya, lalu baginda bersabda : Sesungguhnya kubur ini terisi dengan kegelapan atas penghuninya dan Allah telah menerangi bagi mereka kerana saya telah mensholatinya”.

Perlu kita ketahui bahwa kebersihan (an-nazhafah) merupakan sesuatu yang dicinta oleh Allah SWT. Maka dari itu ungkapan “Kebersihan Sebahagian Dari Iman” adalah ungkapan yang baik atau islami kerana ada dasarnya dalam Islam.

Dengan peranan masjid itu sendiri, ianya akan banyak memberi manfaat besar dan kesan yang amat positif terhadap usaha mengimarahkan masjid dengan kegiatan-kegiatan yang telah di sebutkan tadi. Ini juga bertujuan untuk melahirkan umat Islam yang cintakan masjid, sayangkan agama dan sentiasa bertakwa kepada Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah at-Taubat ayat 108 :

لَا تَقُمْ فِيهِ أَبَدًا لَمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقْوَى مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَنْ تَقُومَ فِيهِ فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَنْ يَتَطَهَّرُوا وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُطَّهِّرِينَ
Maksudnya : Kerana sesungguhnya masjid (Qubaa), yang telah didirikan di atas dasar takwa dari mula lebih patut engkau sembahyang di dalamnya. Di sana ada lelaki yang suka membersihkan dirinya, dan Allah Mengasihi orang yang membersihkan diri mereka.

        Marilah sama-sama kita meluangkan sedikit masa untuk mendekati diri dengan masjid serta menghadiri program-program  yang telah disediakan ini demi kesejahteraan dunia dan akhirat. Ingatlah bahawa Rasulullah SAW mengasuh umatnya mendekati dan cintakan masjid, kerana  mereka yang hatinya sentiasa terpaut dan cintakan masjid dapat menyelamatkan diri di hari akhirat kelak. Nabi SAW dalam salah satu sabdanya yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah RA bahawa di antara orang yang mendapat perlindungan Allah SWT di hari Kiamat kelak ialah orang yang hatinya terikat dengan masjid. Sabda Rasulullah SAW : “Dan seorang lelaki yang mana hatinya terpaut dengan masjid.”(Riwayat al-Bukhari).



Sempena Program Transformasi Berpusatkan Masjid Tahun 2012 ini, yang mana ianya merupakan program di bawah anjuran Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), dalam kesempatan yang ada ini, saya ingin mengajak semua masyarakat Islam di Sibu, khususnya penduduk Kampung Jariah dan sekitarnya agar dapat bersatu dan bersama-sama kita memperkasakan dan menjenamakan semula program takmir ini agar ianya selari dengan peredaran zaman dan lebih segar serta  dapat menarik minat umat Islam khususnya para generasi muda untuk mengikutinya. Bagi masjid-masjid yang mampu, semarakkanlah lagi program-program pengimarahan masjid dalam pelbagai bentuk dan aktiviti yang melibatkan pelbagai peringkat umur. Gunakanlah sebahagian daripada sumbangan awam yang diperolehi melalui tabung masjid bagi tujuan yang murni ini supaya amal jariahnya dapat diperluaskan.
    
     Oleh kerana itu, marilah sama-sama kita melakukan usaha yang bersepadu bagi mempromosi dan menyemarakkan kembali program ini agar mendapat tempat di hati segenap lapisan masyarakat. Bagi anda yang mempunyai kebolehan dan kepakaran tertentu adalah dipohon bersama masjid menyumbangkan tenaga untuk kebaikan  anak kariah dan masyarakat setempat. Ingatlah bahawa masjid adalah paksi kehidupan masyarakat Islam. Mengakhiri tulisan blog ini, marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam  surah an-Nur ayat 36 : (Nur hidayah bersinar) di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang.”

Masjid Besar Sibu, Masjid An-Nur

Tiada ulasan:

Catat Ulasan