Ahlan Wa Sahlan

Selamat Datang ke Sibu Islamic Media... Media Memeriahkan Lagi Da'wah Islamiyyah di Sarawak Khususnya...

Isnin, 28 Mei 2012

KEM SMART SOLAT

SIBU, Isnin (28 Mei 20012) - Guru-guru Kelas Al-Quran & Fardhu 'Ain Sekolah Kebangsaan Kampung Bahagia Jaya telah mengadakan sebuah pertandingan "Kem Smart Solat" untuk pelajar-pelajar tahun 4, 5 dan 6. Program ini adalah salah satu program peringkat sekolah yang berlandaskan kefahaman tentang pembelajaran PAFA. Program ini dinamakan pertandingan “Smart” solat. Program ini bertujuan adalah untuk membentuk pelajar yang bijak dan tahu cara-cara melaksanakan solat dengan baik dan benar.

Adapun juga, tujuan program ini dilaksanakan adalah untuk memilih calon Imam Muda dan Ustazah Cilik yang akan diadakan pada 14 September 2012, iaitu pada bulan puasa ini. Seramai 100 orang pelajar yang telah menghadiri program ini. Dan yang terpilih untuk mengikuti pertandingan Smart Solat ini adalah seramai 24 orang sahaja (lelaki dan perempuan).

Program Imam muda dan Ustazah cilik merupakan pertandingan tahunan yang dirangka untuk dijadikan salah satu aktiviti tahunan yang akan dilaksanakan sepanjang tahun bermula Mac 2012 dan berakhir pada bulan ramadhan nanti. Dalam pada itu juga aktiviti – aktiviti yang telah disediakan keseluruhannya adalah berpaksikan kepada penekanan dalam perkara-perkara keagamaan seperti Tadarus Al-Quran, zikir-zikir, doa-doa harian ,tazkirah, bercerita, hafalan surah-surah lazim dan sebagainya. Program ini akan diteruskan dari semasa –kesemasa bagi memberi kesan yang memberangsangkan dalam diri para pelajar.

          Adapun rasional program Imam Muda & Ustazah Cilik di jalankan ialah untuk memberikan dorongan dan kesedaran para pelajar agar mereka dapat melakukan tanggungjawab sebagai pelajar Islam secara berkesan dan juga untuk memberi pedoman dan bimbingan yang berkesan perlu diberikan kepada setiap pelajar agar mereka boleh menjadi pelajar muslim yang mampu mencapai kecemerlangan didunia dan juga akhirat kelak. 

Antara objektif dan matlamat program tersebut adalah untuk melahirkan para pelajar yang memiliki akhlak yang terpuji berlandaskan lunas-lunas syarak, membentuk peribadi pelajar yang mampu menghadapi apa jua situasi dalam cara menyelesaikan permasalahan dengan cara yang terbaik dan juga untuk melahirkan pelajar yang mampu berfikiran secara proaktif sebelum melakukan apa jua perkara kebajikan.

Guru–guru KAFA Sk Kampung Bahagia Jaya terlibat secara langsung dalam program seumpama ini dan memastikan peserta mematuhi peraturan yang ditetapkan sepanjang program dijalankan. Adalah menjadi harapan guru-guru KAFA SK Kampung Bahagia Jaya secara umumnya untuk melahirkan generasi pelajar yang memiliki ketahanan dari segi mental dan fizikal terutama dalam meladani peranan mereka selaku pelajar yang Beragama Islam yang seharusnya memiliki kekuatan dari segi intelektual dan sahsiah yang mantap supaya melahirkan pemimpin yang dapat mengenali ilmu dan imuniti diri dalam mendepani cabaran global masa kini.

1 ulasan:

  1. Mohon saran dan kritik dari anda semua tentang blog ini. saya masih belajar....

    BalasPadam