JIKA dilihat fenomena yang berlaku, seolahnya ia telah menjadi satu kepercayaan dalam pemikiran masyarakat bahawa garam mampu menghalau jin. Ia bukan sahaja bersarang dalam minda masyarakat Islam tetapi juga masyarakat Barat.
Lihat sahaja dalam naskah-naskah seram di layar kaca terbitan Barat, seperti supernatural, mereka bukan sahaja menggunakan air suci, bahkan turut menjadikan garam sebagai alat menghalau jin dan syaitan. Di mana logik akalnya perbuatan tersebut?
Dalam dunia perubatan Islam, garam biasanya digunakan untuk memagar rumah, menghalau dan mencederakan jin. Ini kerana, golongan jin begitu sensitif dan takut kepada belerang. Signifikannya, garam mengandungi bahan yang mampu mendatangkan ketakutan dan kecederaan maksimum kepada golongan jin.
Tambah lagi, banyak kes mangsa yang di ganggu jin di premis perniagaan dan kawasan perumahan. Rawatan yang diberikan adalah dengan memagar kawasan premis atau rumah menggunakan garam, lada hitam dan cuka. Kesemua bahan tersebut dicampurkan dalam sebuah bekas, kemudian perawat / mu'alij akan mendirikan solat hajat, dan bahan-bahan tersebut akan dibacakan dengan doa-doa terpilih dari Al-Quran.
Sesudah itu garam tersebut akan diletakkan di sudut penjuru rumah atau ditabur di sekeliling rumah. Bagi mencederakan jin pula, garam tersebut akan ditabur seakan merejam di kawasan-kawasan yang dirasakan wujudnya kehadiran jin. Garam yang digunakan perlulah garam yang kasar supaya impak dari rejaman itu berhasil mencederakan jin.
Terdapat satu kisah yang pernah teradi di zaman khalifah Al-Mutawakkil, seorang hamba perempuan dirasuki oleh jin. Kemudian datang seorang lelaki menemui Imam Ahmad meminta supaya beliau merawat wanita tersebut. Imam Ahmad hanya memberikan terompahnya dan menyuruh lelaki tersebut memukul kepala perempuan yang dirasuk jin sebanyak tujuh kali jika jin itu enggan keluar.
Disebabkan ketaatan Imam Ahmad kepada Allah swt, maka jin tersebut keluar dari tubuh hamba perempuan itu. Beberapa ketika kemudian selepas Imam Ahmad meninggal dunia, jin yang sama kembali merasuk tubuh hamba perempuan tersebut. Mengetahui akan kejadian ini, maka khalifah Al-Mutawakkil sekali lagi menyuruh seorang lelaki menemui sahabat baik Imam Ahmad dan minta terompahnya untuk dilakukan cara yang sama. Tetapi malangnya jin tersebut tidak mahu keluar dan berkata, "Aku tidak akan taat kepadamu dan tidak akan keluar dari sini. Ada pun Imam Ahmad Ibnu Hambal dahulu adalah seorang yang taat kepada Allah swt dan aku diperintahkan agar taat kepadanya". Itu kisah terompah Imam Ahmad tapi jin itu bukan takutkan terompah itu, sebaliknya ketaatan Imam Ahmad kepada Allah.
Bagaimana pula ceritanya dengan garam sebagai salah satu kaedah menghalau makhluk halus?. Jadi, adakah garam boleh digunakan untuk menghalang dari gangguan makhluk halus?
Menurut bekas mufti kerajaan Arab Saudi, Syeikh Abdul Aziz Bazz pernah menyatakan, penggunaan bahan dalam rawatan Islam adalah harus selagi ia tidak diharamkan oleh syarak. Ia sama juga dengan mengambil panadol apabila pening kepala atau demam. Di dalam kandungan panadol terdapat bahan yang boleh memudaratkan tubuh jika diambil secara berlebihan. Namun begitu ia tidak dihukumkan haram selagi mana ia tidak mendatangkan mudarat atau jelas ada dalil yang menunjukkan haram.
Syeikh Abu Al-Barra turut memetik jawapan dari Syeikh Abdullah Abdul Rahman Al-Jebreen yang mengatakan, penggunaan garam dalam menghalau makhluk halus adalah harus. Ia berdasarkan kisah pengalaman Abu Nadhir Hasyim Ibnu Qasim yang mengamalkan perbuatan tersebut berdasarkan kitab Al-Wabas Sayyib min Al-Kalimat Tayyib oleh Syeikh Ibnu Qayyim Al-Jauzi.
Dalam merawat apa jua peyakit, yang penting sekali, perlu ditanam dalam hati setiap pesakit, i'tiqad keyakinan bahwa hanya Allah swt sahaja yang mampu menyembuhkan. Ubatan atau bahan-bahan rawatan hanyalah sebagai alat penghubung bagi menyembuhkan penyakit tersebut. Ia tidak mempunyai sebarang kuasa pun. Pesakit juga hendaklah sabar, berdoa dan terus bertawakal kepada Allah swt seperti Nabi Allah Ayub yang terus tabah menghadapinya segala penyakit yang dideritainya. Hanya kesabaran yang mampu membuktikan keimanan kita kepada Allah swt.
Dalam konteks ini, bahan yang digunakan mestilah bahan yang halal, harus dan tidak bercanggah dari segi syarak dan orang yang mengubat mestilah seorang Muslim yang beriman kepada Allah swt, dengan melaksanakan setiap suruhannya. Manakala kaedah rawatan pula, mestilah bersandarkan kepada bacaan ruqyah iaitu ayat Al-Quran, Al-Hadis, doa-doa dan amalan ulama. Bagi bacaan doa-doa dan amalan ulama, dua kriteria perlu dipastikan supaya ia bertepatan dengan inti pati Islam, iaitu tiadanya unsur syirik seperti menyeru kepada jin atau meminta pertolongan dengan makhluk halus. Yang kedua, bacaan tersebut hendaklah difahami dengan jelas bagi orang yang membacanya. Sekiranya bacaan Al-Quran yang dicampuradukkan dengan mantera, maka ia bercanggah sama sekali dengan syarak.
Berdasarkan buku rawatan penyakit jasmani, seorang pengamal dan pengkaji perubatan Islam di Arab Saudi iaitu Syeikh Abu Al-Barra' Usamah bin Yassinal Ma'ani pernah ditanya tentang penggunaan garam yang direnjis pada sudut, atau tiang rumah yang mengalami gangguan makhluk halus, sama ada ia dibenarkan atau tidak. Jawabnya, ia harus dengan beberapa syarat iaitu :
- Hendaklah memaklumkan kepada makhluk yang mengganggu bahawa tindakan ini tidak bermaksud menceroboh atau menyakiti secara sengaja.
- Hendaklah dimaklumkan kepada tuan rumah bahawa adalah semata-mata ikhtiar berdasarkan pengalaman pengamal perubatan yang berpengalaman.
Wallahu'alam....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan