سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ
الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ
لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ
Di kesempatan pada bulan Rejab yang
mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada pembaca blog sekalian marilah
sama-sama kita mengukuhkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh
melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita dan keluarga kita berjaya menjadi
insan soleh serta mendapat perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat.
Kini
kita berada dipenghujung bulan Rejab, mengingatkan kita satu mukjizat teragong iaitu
peristiwa Isra’ Mikraj yang berlaku pada 27 Rejab setahun sebelum Nabi Muhammad
SAW berhijrah ke Madinah. Dalam peristiwa ini, atas kekuasaan dan kehendak
Allah SWT, Nabi Muhammad SAW diiringi Malaikat Jibril diperjalankan pada waktu
malam hari berangkat dari masjidil Haram di Makkah menuju ke masjidil Aqsa di
Baitul Muqadis di Palestin dan kemudiannya di angkat mengadap Allah SWT di Sidratul
Muntaha. Kalau mengikut perkiraan moden hari ini, peristiwa ini berlaku dalam
tempoh satu malam iaitu kira-kira 12 jam. Firman
Allah SWT dalam surah al-Israa’ ayat 1 :
سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ
الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ
لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ
Bermaksud : “ Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya pada
malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati
sekelilingnya, untuk diperlihatkan kepadanya tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya
Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”.
Tugas utama Nabi Muhammad SAW dan rasul adalah untuk
membina diri manusia supaya berakhlak mulia dan beramal soleh. Pembangunan diri
manusia, pembangunan insan adalah menjadi tonggak segala pembangunan yang lain.
Persoalan besar timbul ialah bagaimanakah manusia itu boleh membangunkan akhlak
yang mulia ?. Inilah yang perlu difahami dan dipelajari dalam peristiwa Isra’ Mikraj
. Dalam peristiwa Isra’ Mikraj Nabi Muhammad SAW telah dibawa untuk
melihat setiap kelakuan manusia samada yang nyata atau ghaib yang terdapat di
bumi dan di tujuh lapis langit serta bertemu dengan Allah SWT.
Menurut ahli
tafsir seperti Ibnu Kathir, menyatakan Nabi Muhammad melihat Allah SWT secara
mata hati dan menerima perintah melaksanakan program solat fardhu 5 waktu
sehari semalam secara terus dari Allah SWT. Inilah gagasan terbesar Allah SWT
memanggil mengadap Rasulullah SAW di Sidratul Muntaha. Manakala perintah
melakukan ibadah-ibadah wajib yang lain disampaikan Allah SWT melalui malaikat
Jibril.
Berdasarkan gagasan
Isra’ Mikraj ini jelas bahawa solat fardhu lima waktu adalah program utama yang
Allah fardhukan kepada umat Islam. Solat fardhu menjadi perintah utama kerana ia
menjadi ibu segala amal ibadah, wajib dilaksanakan samada semasa sihat atau
sakit, menjadi tonggak kekuatan agama, menggugurkan segala dosa dan
menyelamatkan azab kubur. Selain itu kualiti solat ini juga akan
menentukan kualiti pelaksanaan
ibadah-ibadah yang lain.
Terdapat perkaitan yang kuat bahawa jika
seseorang itu lemah melaksanakan solat, maka ibadah yang lain pun mempunyai tahap
yang sama. Berdasarkan perkaitan inilah maka amalan solat adalah amalan yang
dapat mencegah berlakunya kemungkaran kepada seseorang itu. Firman Allah dalam
surah al-Ankabut Ayat 45 yang bermaksud : “ Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari
perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih
besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang
kamu kerjakan .” Jika solat itu dibuat
secara lalai maka ia boleh mendatangkan musibah dan memberi kesan buruk
terhadap kelakuan seseorang. Firman Allah dalam surah al-Maa’un, ayat 5 yang bermaksud “Maka
kecelakaan besar bagi orang yang Sembahyang. (Iaitu)
mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya. ”
Apa yang dimaksudkan
lalai di sini ialah, mereka yang melakukan solat tidak menyedari bilangan rakaatnya,
malas melakukan solat sehingga bertangguh-tangguh kerana mengutamakan pekerjaan
lain, terburu-buru melakukan solat dan tidak merasai nikmat melakukan solat di
awal waktu. Memandangkan solat ini adalah perintah Allah SWT, maka pelaksanaan
solat hendaklah dilaksanakan secara khusyuk
mengikut peraturan tertentu. Solat yang hakiki akan melindungi seseorang
daripada melakukan perbuatan berdosa. Solat yang hakiki adalah solat yang
dilakukan secara khusyuk. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Perbezaan antara manusia dan perbezaan antara
syirik dan kufur ialah meninggalkan solat. ” (Riwayat Muslim).
Walaupun kita tidak
dapat bertemu dengan Allah SWT seperti yang dialami oleh Nabi Muhammad SAW
tetapi berdasarkan gagasan Isra’ Mikraj ini kita dapat bertemu dan berhadapan
dengan Allah SWT di dalam solat dengan syarat :
Pertama : hati kita
sepenuhnya mengingati Allah dengan menghindari dari penyakit syahwat atau
bisikan duniawi
Kedua: hati kita sentiasa mengagungkan Allah SWT dan
merasa Allah sentiasa melihat diri kita
Ketiga: hati kita sentiasa
meresapi makna-makna ayat al-Quran yang di baca dalam solat.
Menurut Imam Ghazali,
antara amalan untuk membentuk solat yang khusuk ialah
Pertama :
memastikan sumber rezeki itu adalah halal,
Kedua : mendirikan solat seolah-olah
akan menghadapi kematian pada esok hari
Ketiga : mendirikan solat pada
awal waktu
Keempat : memahami pengertian bacaan dalam solat
Kelima :
mengambil wudhu’ dengan sempurna dan pakaian bersih
Keenam : memiliki
sifat malu kepada Allah SWT jika perlaksanaan solat itu tidak sempurna.
Berdasarkan
pemerhatian penulis, akhlak yang kurang baik dan keruntuhan moral yang dideritai
oleh segolongan umat Islam kini berpunca daripada solatnya tidak khusyuk
menyebabkan mereka masih melakukan perbuatan keji dan maksiat. Mereka ini
melakukan solat tetapi masih juga melakukan perbuatan berdosa.
Serangan gejala sosial dalam pelbagai bentuk di negara
ini menyebabkan kita kadangkala hilang pedoman untuk mengatasinya. Isu-isu
seperti pelacuran, pembuangan bayi, dadah, arak dan yang terkini LGBT semakin
menjadi-jadi dan membimbangkan. Mimbar amat yakin pelaksanaan solat yang khusyuk
berupaya menjadi benteng, mengukuhkan kekuatan akidah dan akhlak umat Islam dalam
menghadapi serangan gejala sosial ini. Gagasan dan kebenaran dalam Isra’ Mikraj
ini hendaklah kita tauladani dan dipelajari serta dihayati sebaik mungkin,
insyaallah kita mampu mengelakkan diri daripada melakukan berbagai-bagai
kejahatan dan kemungkaran serta terjerumus dengan gaya hidup berdosa.
Oleh itu Sempena memperingati peristiwa
Isra’ Mikraj sebagai mukjizat yang besar ini, maka penulis menyeru para pembaca blog
dan umat Islam sekalian, marilah kita melaksanakan ibadah solat dengan khusyuk dan sempurna agar ia mampu membangunkan generasi dan
keluarga kita menjadi insan yang soleh selari dengan gagasan Isra’ Mikraj. Penulis
juga menyeru para pembaca sekalian bersempena dengan bulan Rejab yang mulia ini
marilah sama-sama kita memperbanyakkan amal ibadat kita seperti melakukan ibadat
puasa, bersedekah dan sebagainya, mudah-mudahan segala amalan kita diterima
sebagai amal soleh. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Hendaklah kamu memuliakan bulan Rejab, nescaya Allah SWT akan muliakan kamu
dengan seribu kemuliaan di hari kiamat ” .
Tiada ulasan:
Catat Ulasan